Akhlak berasal dari perkataan Al Khuluq. Al-Khuluq bererti
tabiat atau tingkah laku. Menurut Iman Al Ghazali, akhlak merupakan gambaran
tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan daripadanya terbit
tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan atau
pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk
tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala
tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam
jiwanya.
Tepatlah
apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, “Sesungguhnya
semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota
manusia, sehingga tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa
yang ada dalam hati manusia”.
Tingkah laku atau perbuatan manusia
mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama
pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik
apabila baik akhlaknya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah
pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya.
Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Dan
tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah
yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami
mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.” (Al- A’raf: 58)
Akhlaq yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam.
Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya
(yang bermaksud, antara lain:
“Sesungguhnya
aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia”.
Hal
ini ditegaskan lagi oleh ayat al-Qur’an dalam firman Allah:
“Dan
Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”
(Al-Qalam:
4)
Juga
dalam firman Allah swt. lagi:
Orang
–orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka
mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan
mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.
(Al Hajj, 22 : 41)
Firman
Allah swt. lagi:
Bukanlah
menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi
sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian,
malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya
kepada kerabatnya, anak–anak yatim, orang-orang miskin, (yang memerlukan
pertolongngan) dan orang-orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba
sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati
janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan,
penderitaan, peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan
mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
(Al-Baqarah,
2: 177)
Akhlaq yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari
iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak.
Sebuah athar menyatakan (antara lain, bermaksud):
“Bukanlah
iman itu hanya dengan cita – cita tetapi iman itu ialah keyakinan
yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan”
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah ditanya: Apa
itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlaq (Husnul Khulq). Bila
ditanya tentang kejahatan, baginda menjawab: Akhlaq yang buruk (Su’ul
khalq). Diriwayatkan dari Annawas bin Sam’an ra. berkata, “Saya bertanya
kepada Rasulullah saw. Tentang bakti dan dosa, maka jawab Nabi saw. “Bakti itu
baik budi pekerti, dan dosa itu ialah semua yang meragukan dalam hati dan tidak
suka diketahui orang.” (HR. Muslim). Abu Darda berkata, “Bersabda Nabi saw,
“Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat
daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (HR. At Tirmidzi)
Aisyah
ra. Berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya
seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu
sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)
Jabir
ra. berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat saya
kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik
akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat
nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan
berlagak menunjukan kepandaiannya.” (HR. At Tirmidzi).
Kekuatan
akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan kesediaan untuk sentiasa
memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang ulama menjelaskan thariqah
(jalan) untuk membina akhlak islami adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan
latihan (tadribat) dan pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan
yang sama untuk menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita
untuk mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan
muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering
dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru
menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman. Gejala keruntuhan
akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan
seumpamanya meruntun jiwa kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak
dikawal pada satu tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu,
lantas melupakan terus Pencipta Yang Maha Esa.
Islam
adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya
demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara
terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat
terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan,
kelapangan dan ketenteraman.
Sebaliknya
manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan
dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman :
“Sesungguhnya
Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang
ada pada diri mereka sendiri.”
(Ar-Ra’d: 11)
Di
antara ciri-ciri akhlaq yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya
ia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlaq-akhlaq berikut:
1.
Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat
Seorang
muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah
dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya
(syubhat) berdasarkan dari hadith Rasulullah yang berbunyi:
“Daripada
Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu
nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada
perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia.
Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya
ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara
kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang
mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di
dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan.
Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah!
Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan
seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah
yang dikatakan hati.
(Diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim)
Adapun
setinggi-tinggi pencapaian darjat wara’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan
oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith baginda (antara lain,
bermaksud):
“Seorang
hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin
sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan
(jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari
terjerumus ke dalam kesalahan”
2.
Memelihara penglihatan.
Seseorang
muslim itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat perkara-perkara yang
diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu)
boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran dan maksiat.
Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang –orang mu’min supaya
memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah
Subahanu Wata,ala:
Katakanlah
kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan
pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci
bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".
(An-Nur:
30)
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam pula bersabda (antara lain, bermaksud):
“Pandangan
itu ada satu panahan dari panahan iblis”
Baginda
juga mengingatkan (antara lain, bermaksud):
“Hendaklah
kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah
akan menghodohkan wajah kamu.”
(Hadith Riwayat At Tabrani)
3.
Memelihara Lidah
Seseorang
muslim itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan kata-kata yng tidak
berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan
kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahumullah
mengatakan. “ketahuilah, seorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari
sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila
bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya
adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin
membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku
tetapi kebaikan darinya adalah jarang.”
Sebenarnya
banyak dari hadith-hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menerangkan
keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri (antara lain):
“Tidaklah
dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek)
lidahnya”
(Hadith
riwayat Al Tarmizi)
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:
“Bukanlah
ia seorang mu’min (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor
dan keji.”
(Hadith
riwayat At Tarmizi)
Sabda
baginda lagi:
“Sesiapa
yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak
kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api
nerakalah paling layak untuk dirinya.”
(Diriwayatkan
oleh Baihaqi)
4.
Bersifat Pemalu.
Seorang
muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat
tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara
sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain,
memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap,
berasa cukup seta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat seumpamanya.
Diceritakan dari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda adalah
seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik
tabir.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Iman
itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama
ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah)
dan yang paling rendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan sifat malu
ialah satu cabang dari Iman”
Berhubung
dengan sifat malu ini para ulama’ mengatakan: “Hakikat malu itu ialah sifat
yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya dari
mencuaikan hak orang lain.
5.
Bersifat Lembut dan Sabar
Di
antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri
seseorang Muslim ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja
untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan,
malah jalan da’wah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyiksaan, penindasan,
tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Halangan–halangan ini sering
dihadapi oleh para petugas ‘amal Islami sehingga himmah mereka menjadi pudar,
gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan
da’wah.
Dari
keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu
tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan da’wah kepada seluruh
lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabi’atnya. Da’i
akan menyampaikan da’wahnya kepada orang-orang jahil dan orang-orang ‘alim,
orang yang berfikiran terbuka dan yang emosional (sensitif), orang yang mudah
bertolak ansur dan yang keras kepala, orang yang tenang dan yang mudah
tersinggung. Oleh yang demikian ia wajib menyampaikan da’wah kepada semua
golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah
berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti
memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut.
Oleh
itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-quran dan hadith Nabi menganjur dan
mengarahkan agar seorang da’i itu berakhlak dengan sifat-sifat sabar, lemah
lembut dan berhati-hati.
Arahan-arahan
Dari Al-Qur’an:
Di
antara arahan-arahan al-qur’an ialah:
Firman-firman
Allah:
“Tetapi orang yang bersabar dan
memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang
diutamakan”.
(Al-Syura,
42: 43)
“Maafkanlah
mereka dengan cara yang baik”
(Al-Hijr,
15: 85)
“Sesungguhnya
hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”.
(Az-Zumar, 39: 10)
“Dan
hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah
mengampunimu?”.
(An-Nur, 24 : 22)
“Dan
apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang
mengandungi) keselamatan”.
(Al-Furqan
25 :63)
Arahan-arahan
dari hadith-hadith Nabi.
Di
antara arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi ialah:
Sabda-sabda
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya
seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta
bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”
“Mahukah
aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan
(kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian.
Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah
kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah
pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan
silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.”
“Apabila
Allah Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru
pada hari itu pun menyeru; “Di manakah orang-orang yang mempunyai
keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan
mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu
disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan
kamu”. Mereka menjawab: “Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar,
apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan
kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik
ganjaran bagi orang yang beramal”
Contoh-contoh
praktikal dari Nabi:
1.
Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati
dengan pembahagian
rampasan perang) berkata: “Demi Allah, sesungguhnya ini adalah pembahagian
yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredhaan Allah”. Setelah
diceritakan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam baginda bersabda:
“Semoga
Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar”.
2.
Anas Radiyallahu anh telah berkata:
“Pada
suatu hari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memasuki sebuah masjid.
Ia memakai kain selendang buatan najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang
Arab Badwi datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut dari
belakang sehingga meninggalkan bekas di leher baginda. Badwi tersebut berkata
: “Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada di sisimu,
lalu Rasulullah berpaling kepadanya dengan wajah yang tersenyum dan baginda
bersabda: “Perintahkan kepada yang berkenaan supaya berikan kepadanya.”
3.
Abu Hurairah menceritakan:
“Bahawa
seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
“Wahai Muhammad bawalah gandum ke atas dua ekor untaku, kerana kalau engkau
buat begitu ia bukan harta engkau dan bukan juga harta bapa engkau”. Kemudian
ia menarik kain selendang Rasulullah sehingga meninggalkan kesan kemerahan di
leher baginda. Lalu Rasulullah memerintahkan supaya membawa kepada Badwi
tersebut seguni gandum dan tamar”.
4.
Al-Tabrani menceritakan:
“Bahawa
seorang wanita berkata lucah (yakni ucapan yang menimbulkan berahi) kepada
sekelompok lelaki, kemudian ia lalu dihadapan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam
ketika Nabi sedang memakan roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita itu
berkata: “Lihatlah kamu kepadanya, ia duduk seperti seorang hamba abdi dan ia
makan seperti seorang hamba abdi”.
5.
Abu Hurairah radiallahu anh menceritakan:
“Bahawa
seorang leleki berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai kaum
kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan
dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat
terhadap saya, saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras
terhadap saya.” Lalu baginda bersabda : “Jika sekiranya engkau berbuat seperti
yang engkau katakan seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan
mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat demikian”.
6.
Pada suatu ketika datang seorang yahudi menuntut hutang dengan Rasulullah
dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd.Manaf adalah bangsa yang suka
melambat-lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar Ibn Al-Khattab ada
bersama dan ia hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah berkata
kepadanya: “Wahai Umar, sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku
dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.
7.
Diriwyatkan bahawa Nabi Isa Alaihissalam bersama para pengikut setianya
(Hawariyyun) dari satu kampung ke satu kampung yang lain kerana berda’wah. Lalu
di dalam da’wahnya itu ia bercakap kepada manusia dengan cara yang baik,
sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk, kutukan dan
maki-hamun. Para pengikut setia itu merasa hairan terhadap tindakan itu lalu
mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata: “Setiap
orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada padanya”.
Semua
peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi
tuntutan ke atas para penda’wah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan
belapang dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya
dari kaum kerabat, sahabat-handai, orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat
dan saudara mara kerana sifat-sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu
akan menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan
serta perbezaan. Cukuplah oleh seorang penda’wah itu mendapat apa yang diredhai
oleh Allah.
6.
Bersifat Benar dan Jujur.
Seorang
muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun
kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan
orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi
pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari
kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat
menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan
memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai
pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan.
Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari
tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan
kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan
menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.
Rasulullah
Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya
sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke
syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah
sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada
kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang
sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.
(Muttafaqun
‘alaihi)
7. Bersifat
rendah diri
Seseorang
mislim mestilah bersifat tawadhu’ atau merendah diri khususnya terhadap
saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi
layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullh
Sallallahu’alaihiwasallam sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar
dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda (antara
lain, bermaksud):
“Tidak
akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah
(sedikit) sifat takbur.”
(Hadis
Riwayat Muslim)
Di
dalam hadith qudsi Allah berfirman :
“Kemuliaan
itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang
cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadith
Qudsi riwayat Muslim)
8.
Menjauhi sangka buruk dan mengumpat
Menjauhi
sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang itu
mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah:
“Hai
orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya
sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari
kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang
lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah
mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang”.
(Al-Hujurat,
49 : 12)
Allah
berfirman lagi:
“Dan
orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang
mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang
nyata.”
(Al-Ahzab, 33 : 58)
Dan
Rasulullah bersabda (antara lain, bermaksud):
“Wahai
golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki
hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah
kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai
keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di
dalam rumahnya.”
(Hadith
riwayat Abu Daud)
9.
Bersifat pemurah
Seorang
muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta
bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan
seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana
berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, berharta dan berpangkat
gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Qur’an Al-Karim
sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang
dikaitkan dengan sifat pemurah.
Diantaranya:
“Orang-orang yang mendirikan shalat dan
yang menafkahkan sebagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka.”
(Al-Anfal, 8: 3)
“Dan
apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya
itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan
kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu
nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu
sedikitpun tidak dianiayai”.
(Al-Baqarah,
2 : Ayat 272)
Orang-orang
yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pelajaran dari
pesanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (antara lain, bermaksud):
“Tidak
ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi
oleh dua malaikat lalu seorang darinya berdo’a : “Ya Allah, berikanlah ganti
kepada si hamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala malaikat yang ke dua
berdo’a : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada sihamba yang bakhil ini”.
10.
Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)
Selain
dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan
dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya
adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti
dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman,
dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri
menajdi suri teladan merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh
Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud:
"
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu
(iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat
dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al Ahzab : Ayat 21 )
0 komentar:
Posting Komentar